Salam ;)
Malam sudah, aku on call. On call pertama. On call memang memaksa keringat bergerak lebih. Keringat zahir mahupun minda yang berputar. Sudah kelas dari 8am hingga 5pm, siapa-siapa yang on call harus sambung lagi dari 8pm hingga 12pm. Kelas itu bermaksud ward round, bedside teaching, bukan kelas di dilik dingin, berbau segar, dan bersandar di kerusi empuk. Kalaupun ada 2 jam study leave, juga harus gunakannya to the max mencari procedures yang harus dibuat untuk log book requrements. Seharian berdiri, berjalan, tangan kaki minda bergerak, siapa yang tidak longlai. Sedang aku enak melepas linang pada malam ini, aku masih belum boleh lupa apa yang aku sudah pandang waktu semalam.
Lebih kurang ini lah apa yang aku lihat. A 86 years old wife terbaring dengan mata terpejam di dalam wad, sudah 2 tahun stroke. Bezanya dari gambar ini, si suami, baya-baya isteri itu juga lah, datang melawat dengan kerusi roda, sudah tidak daya melangkah, uzur di lanjut usia. Bezanya lagi si suami tidak menopang dagu di atas katil, sudah bongkok untuk menongkat tubuh, terpisah melalui besi palang katil. Si isteri kurang sedar dengan keadaan sekeliling, ingin mencabut wayar di tangan. Si suami tidak lepas mata dari isteri, tidak lupa mengusap tangan isteri, tidak lepas kata-kata lembut, berpesan supaya jangan banyak bergerak, jangan cabut wayar. Kalau semalam, lewat malam baru si suami pulang, itu pun setelah dipujuk anak-anak, maknanya sudah 2 tahun juga si suami tidak lekang dari terus memberi semangat kepada si isteri.
Macam-macam bukan ragam manusia. Ada yang sudah tua, sudah diuji dengan ujian sakit, ujian lanjut usia, ujian insan kesayangan sedang bertarung nyawa, namun tetap bersyukur dengan kehidupan. Itu ujian Tuhan, selagi terdaya, aku pikul, aku tanggung, aku usaha dengan sebaiknya. Ada pula yang masih muda, baru sahaja menjejak cabaran, belum pun melangkah jauh seperti si tua, belum pun lewat berbagai-bagai dugaan, sedikit cuma, di permukaan cuma, namun sudah merasa lelah, sudah hilang tumpu punca ingin melawan lelah.
Sepatutnya aku lebih bersyukur, diberi kesempatan di dalam profesion ini, boleh lihat kesusahan, boleh buka mata kepada berbagai-bagai kelompok manusia, banyak peluang untuk koreksi diri, lebih jangkauan untuk berbakti. Tidak banyak pun, sedikit pasti boleh!
Maka, segala apa lelah yang aku tanggung, segala payah yang aku gapai, tidak boleh aku bilang, tidak patut aku ungkit, tetapi aku harus tetap bersyukur, kerana semua itu membawa aku ke arah yang lebih baik, insyaAllah. Syukur kerana ada peluang ini.
Segala apa yang Allah bebankan (kata aku), bukanlah sebenarnya bebanan, tetapi hadiah yang PASTI aku boleh tanggung, untuk aku supaya aku jadi Syafiqah yang kuat. Kerana aku bukan Syafiqah yang akan mengalah, tetapi Syafiqah yang mampu kaut cabaran, untuk tukar segala awan jerih jadi kilauan pelangi yang mampu buat setiap di sisi ku tersenyum.
Terima kasih pakcik dan makcik yang sudah uzur, kerana beri aku yang masih sihat sebuah pengajaran :') Aku doa pakcik dan makcik bahagia sampai syurga.
p/s : jangan jadi orang sabar, kerana orang sabar pasti hatinya sakit menanggung seksa yang dikenang. Tapi jadilah insan bersyukur, kerana syukur itu mengajar kita untuk terima dengan senyum ;)
No comments:
Post a Comment